Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73

UJJQ1917.JPG

Persembahan khas pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 itu menyaksikan gabungan kira-kira 501 orang penuntut sekolah-sekolah rendah dan menengah, serta belia-belia daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi yang sama-sama menghidupkan persembahan bertema ‘Daulat Raja, Julangan Rakyat’ yang dibahagikan kepada tiga segmen.

Segmen pertama merupakan gabungan muzik sebagai pembuka tirai persembahan diiringi dengan tarian menjunjung kasih oleh belia-belia tanah air yang melambangkan taat setia rakyat kepada raja dengan diikuti rentak zapin yang dipersembahkan oleh seramai 82 orang.

Persembahan yang menggunakan kain selendang dan kikik (beringin) itu mengambil masa kira-kira enam minit membawa lagu ‘Hola Hela’ dan ‘Kalungan Selendang’. Segmen kedua pula persembahan gerak laku kreatif dan bertenaga yang dipersembahkan oleh seramai 100 orang kanak-kanak yang memberikan gambaran rakyat yang rela sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.

Ia juga mencerminkan keceriaan rakyat dalam menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 tahun dan menggambarkan generasi yang berwawasan dalam menjayakan wawasan negara dan berlandaskan konsep Melayu Islam Beraja.

Persembahan menggunakan seraung, nyiru, utap dan tar dengan lagu ‘Laila Satria’ itu dipersembahkan selama enam minit oleh kalangan kanak-kanak sekolah rendah sebagai penerus generasi akan datang.

Segmen ketiga merupakan penutup persembahan khas yang menggabungkan keseluruhan peserta persembahan sebagai grand finale dengan bertemakan lagu yang dicipta khas sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-73 tahun dengan membawa tema ‘Daulat Raja, Julangan Rakyat’.


Created at 06/08/2019 10:26 by Hasnani binti Hj Md Noor
Last modified at 06/08/2019 10:31 by Hasnani binti Hj Md Noor